Thursday, January 7, 2010

Demonstrasi ke kedutaan MESIR....

KUALA LUMPUR, 7 Jan: PAS mengingatkan seluruh ahlinya agar tidak terlibat dalam mana-mana demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah yang dianjurkan pihak tertentu di masjid-masjid atau di mana-mana tempat selepas solat Jumaat esok.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, penganjuran demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah esok, bukan pendirian PAS namun yakin ianya adalah perancangan pihak tertentu khususnya Umno.

"Kita menyeru seluruh ahli PAS agar tidak terheret sama dalam demonstrasi yang didalangi Umno itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

PAS, jelasnya telah membuat pendirian jelas berhubung perkara itu melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas menyuarat khas lajnah politik parti itu, Isnin lalu..

Selain itu, katanya PAS telah membuat keputusan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim kerajaan Mesir yang telah menghalang kemasukan pasukan konvoi Viva Palestina ke Gaza.

Sehubungan itu, semua ahli PAS diminta turun ke perhimpunan aman tersebut di hadapan bangunan Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat esok dan bukannya menyertai demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah.

"PAS telah putuskan untuk membuat bantahan rasmi terhadap kerajaan Mesir esok, jadi kita seru seluruh ahli kita untuk bersama dalam himpunan di Kedutaan Mesir esok, bukan di tempat-tempat lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, masyarakat bukan Islam turut diajak menyertai perhimpunan menyerah memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur petang esok.

Program tersebut dianjurkan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Ketuanya, Nasaruddin Hassan berkata, tindakan kerajaan Mesir tersebut membuktikan negara berkenaan tidak berperikemanusiaan dan kurang berminat membebaskan rakyat Palestin daripada terus dizalimi Israel.

“Dewan Pemuda akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bebaskan Palestin tidak lama lagi bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap semua anggota masyarakat yang prihatin penderitaan umat Islam di Palestin turut sama membantah tindakan kerajaan Mesir.




Tuesday, January 5, 2010

Anjing Serang Orang Melaungkan Takbir

> Rabu, Januari 06, 2010

Di Malaysia sedang sibuk membicarakan penggunaan nama Allah dengan masing-masing pihak mengemukakan hujah serta pendapat.

Bagaimanapun di Israel hak bersuara disekat. Jika anda berteriak atau berdemontrasi menyebut kalimah `Allahu akbar' anda boleh diserang anjing penyerang tentera Israel.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Israel, Ahmed Tibi.

Menurut laporan tentera Israel didakwa melatih anjing untuk menyerang orang yang berteriak kalimah "Allahu Akbar."

Informasi ini pertama kali disiar radio tentera Israel oleh korespondennya, Carmela Menashe.

Kecurigaan itu dikuatkan lagi laporan Ahmed Tibi, warga Arab berkata dalam sidang Parlimen bahawa kalangan orang tua dalam tentara Israel menyaksikan sendiri bagaimana anjing tentera itu dilatih untuk menyerang orang yang meneriak kalimah "Allahu Akbar".

Ia ditunjuk dalam satu demontrasi unit anjing penyerang tentera Israel.

"Anjing tentera Israel dilatih untuk menyerang dan menerkam orang-orang Arab yang meneriak kalimah "Allahu Akbar," kata Tibi di hadapan anggota parlimen.

Walaupun radio tentera Israel sendiri yang pertama kali melaporkan informasi tersebut, namun pihak tentera Israel menafikannya.

"Salah satu dari kemampuan yang dimiliki unit anjing kami adalah melatih anjing itu untuk mengenal musuh yang mengenakan seragam atau yang berpakaian awam," demikian kenyataan IDF.

Monday, January 4, 2010

Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah - Haron Din

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan.

Baru-baru ini Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad dalam blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah akhbar mingguan katolik.

Pandangan beliau itu menimbulkan reaksi negatif daripada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dalam pada itu, Haron din turut meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

"Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat.

"Kalau niat mereka baik, saya nasihatkan supaya jangan gunakan kalimah itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam... sesuatu yang mendatangkan keburukan mestilah dicegah," katanya.

Selain itu Haron Din berkata, pada masa akan datang perkara yang melibatkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.

"Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru kes ini supaya kes ini diselesaikan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya merayu Raja-Raja Melayu supaya jangan memandang ringan perkara ini, selesaikan dengan cara setiakawan dan faham memahami perasaan masing-masing," katanya.